KERTEH yang menghadap Laut China Selatan merupakan sebuah bandar yang terletak di daerah Kemaman iaitu bahagian selatan negeri Terengganu Daruliman. Kerteh yang berjarak kira-kira 150 KM daripada bandar Kuala Terengganu merupakan salah satu pusat penapisan dan pengeluaran petroleum dan gas terbesar di Malaysia. Ia terletak di pertengahan perjalanan darat antara bandar Chukai, Kemaman dan bandar Dungun dengan jarak 45 KM antara kedua-dua bandar tersebut. 

SELAIN dirangkaikan dengan jalan raya yang merentasi sepanjang pesisiran pantainya, Kerteh juga dihubungkan dengan bandar-bandar utama di  Malaysia khususnya Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Kerteh. Lapangan terbang ini menyediakan penerbangan setiap hari dari/ke Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu.

SEBAHAGIAN besar penduduknya yang berjumlah kira-kira 10,000 orang adalah terdiri daripada kaum Melayu manakala selebihnya adalah penduduk kaum Cina dan India. Keadaan ini tidaklah menghairankan kerana berdasarkan sejarah Kerteh dibuka oleh masyarakat Melayu yang kemudiannya terkenal sebagai perkampungan Melayu.

 


Copyright ©1999 KertehNet Community. All Right Reserved.